GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


AKIBAT percaya mahu dikahwini, seorang wanita warga emas kehilangan wang bernilai RM257,172 akibat ditipu sindiket penipuan 'phone live scam'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila mangsa mengenali suspek sejak tiga tahun lalu menerusi laman sosial Facebook.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan mahu berkahwin dengan mangsa dan mendakwa ada menghantar wang tunai USD750,000 (RM3.13 juta) bagi membeli rumah serta kereta untuk kegunaan wanita itu.

"Suspek memberitahu mangsa bahawa wang terbabit akan dihantar melalui ejen penghantaran wang.

"Mangsa dihubungi menerusi aplikasi WhatApps oleh individu yang menyamar sebagai ejen penghantaran wang dari Kuala Lumpur dan diminta membayar RM300,000 sebagai yuran proses kastam dan cukai penghantaran wang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tidak bekerja menggunakan wang peninggalan mendiang suaminya serta meminjam duit dari rakan untuk membuat pembayaran itu.

Katanya, mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas suspek terus meminta wang daripadanya.

"Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Johor Bahru Sentral, semalam untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan apabila perlu menyemak dengan pihak polis sebelum melakukan transaksi yang meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 5:32 PM