GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Wanita berusia 61 tahun dari Felda Lui Selatan di sini kerugian RM13,000 selepas menjadi mangsa 'love scam' dan 'parcel scam'.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga ibu tunggal terpedaya dalam sindiket itu selepas berkenalan dengan lelaki dari London melalui WhatsApp bermula awal Oktober lalu.

Katanya, mangsa dan suspek sentiasa berhubung melalui WhatsApp selain suspek bertindak menabur janji manis kepada mangsa.

"Suspek kemudian memberitahu menghantar bungkusan sebagai tanda perkenalan selain mahu menjalinkan hubungan serius dan pada 26 Oktober lalu, dia mendakwa memberi hadiah dan wang tunai USD50,000 sebagai tanda perkenalan.

"Mangsa kemudian menerima pesanan mesej melalui WhatsApp dari nombor tidak diketahui memaklumkan kiriman barang sudah sampai di KLIA namun dirampas oleh kastam," katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata, mangsa kemudian dimaklumkan supaya membayar kepada ejen dan kastam bagi melepaskan barang berkenaan.

Katanya, disebabkan teruja, mangsa membuat beberapa pindahan wang ke dalam akaun bank milik individu lain dari 30 Oktober sehingga 10 November lalu di sebuah bank di Bahau.

Beliau berkata, pada 11 November, mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran berjumlah RM10,000 namun tidak berbuat demikian kerana berasa ditipu.

"Mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 10:51 AM