Gambar hiasan
Gambar hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Teruja apabila dimaklumkan bakal mendapat kiriman wang, emas dan berlian daripada wanita yang dikenalinya di laman sosial Facebook, seorang ahli perniagaan di Kluang kerugian RM107,000 akibat ditipu sindiket Parcel Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, lelaki berusia 61 tahun itu mengenali wanita kononnya berasal dari Amerika Syarikat (AS) sejak November lalu sebelum mereka berdua menjalinkan hubungan rapat secara alam maya.

Beliau berkata, suspek menyamar sebagai Laura Andreson itu mendakwa berpangkat kapten dalam Tentera Laut AS yang bertugas di Iraq di bawah Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, suspek memperdaya lelaki itu kononnya mendapat hasil rampasan pemberontak seperti wang, emas dan berlian kemudian berjanji akan menghantar kesemua hasil rampasan itu kepada mangsa.

"Mangsa dihubungi seorang wanita yang kononnya ejen penghantaran barang itu dan meminta mangsa membuat pembayaran bagi tujuan wang perkhidmatan penghantaran barang, sijil penggubahan wang serta bayaran tafsiran kemasukan emas dan berlian untuk dihantar kepada mangsa.

"Tanpa membuat sebarang semakan dan memaklumkan kepada kenalan yang terdekat, mangsa membuat pembayaran RM107,000 menerusi sembilan transaksi," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Salleh berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila tidak lagi dapat berhubung dengan suspek dan akaunnya disekat di Facebook.

Susulan itu, katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kluang, semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya peka dengan teknik penipuan yang digunakan penjenayah siber masa kini yang mengambil kesempatan kepada golongan warga emas dan pesara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 5:10 PM