Rukun Negara patut dianggap sebagai roh mengikat rakyat bersama-sama. FOTO ASYRAF HAMZAH
Rukun Negara patut dianggap sebagai roh mengikat rakyat bersama-sama. FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

RUKUN Negara bukan digubal tanpa difikirkan secara mendalam, tegas Tun Dr Mohamed Salleh Abas, seorang daripada tokoh membantu mendraf Falsafah Kebangsaan Negara itu pada 1970.

"Semua termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan); telah dikaji secara teliti dan telah difikirkan secara mendalam," katanya dalam temu bual untuk dokumentari khas Bernama TV bertajuk 'Rukun Negara: A Nation United' (Rukun Negara: Sebuah Negara Bersatu).

Dokumentari dua episod itu diterbitkan Bernama sempena ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang akan disiarkan antara 31 Ogos sehingga 19 September di BernamaTV di Saluran 502 ASTRO, Njoi 502, UnifiTV 631 dan MyFreeView 121, selain laman Facebook rasmi BernamaTV dan saluran YouTube.

"… penulisan dan draf asalnya dibuat oleh saya," kata Mohamed Salleh sambil tersenyum, yang ketika itu Peguam Cara Negara. Beliau kemudiannya dilantik menjadi 'Lord President' (kini Ketua Hakim Negara) di Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan).

Mohamed Salleh, yang menyambut ulang tahun ke-91 pada 25 Ogos, berkata ahli jawatankuasa yang mendraf Rukun Negara turut mengambil kira semua agama dianuti rakyat Malaysia dan semua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, 'Kepercayaan Kepada Tuhan" dipilih sebagai prinsip pertama dengan mengambil kira Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Perkara 3 (1) menetapkan Islam adalah agama Persekutuan; tetapi agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni di mana-mana kawasan dalam Persekutuan manakala Perkara 11 (1) menetapkan tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

Menurutnya, ini menjadi asas keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia selepas peristiwa rusuhan kaum berdarah pada 13 Mei 1969.

Katanya, ia bukan tugas mudah, khususnya untuk mencari cara terbaik bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini dan hasil atau kesan daripadanya dapat dilihat pada kejayaan mengekalkan keamanan sehingga kini.

"Rukun Negara patut dianggap sebagai roh mengikat rakyat bersama-sama dan bukan sekadar (sesuatu) untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat orang menjana pendapatan untuk hidup, menjadikan mereka kaya-raya dan kembali ke negara asal mereka, sesuatu seperti itu.

"Kini, kita mahu mereka terus kekal dan membina negara ini, supaya anda boleh lihat dalam keadaannya sekarang," kata Mohamed Salleh yang isterinya Toh Puan Junaidah Wan Jusoh turut hadir pada temu bual itu di rumah mereka di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

Lima prinsipnya, mengikut susunan adalah Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Mohamed Salleh menegaskan, Rukun Negara sepatutnya menjadi roh dan jiwa menjadikan rakyat sedar betapa pentingnya mengekalkan keharmonian dalam kalangan tiga kaum utama dan kaum lain di negara ini.

Beliau turut mengimbas beberapa tokoh terbabit mendraf Rukun Negara 50 tahun lalu dan menyebut seorang daripada mereka – Allahyarham Tun Muhammad Ghazali Shafie, lebih popular dikenali sebagai King Ghaz, yang juga Menteri Dalam Negeri, ketika itu.

"… beberapa orang lagi saya tak ingat … ," katanya.

Hasil semakan daripada maklumat arkib bahawa tokoh lain membantu mendraf Rukun Negara termasuk mendiang Tun Tan Siew Sin; Tan Sri Leonard Linggi Jugah; Tan Sri Kamarul Ariffin; Allahyarham Datuk Harun Idris dan Allahyarhamah Tan Sri Aishah Ghani.

Berikutan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di dalam negara. Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein mempengerusikan MAGERAN.

MAGERAN berperanan penting dalam mengumpulkan tokoh terpilih untuk membantu mendraf Rukun Negara, yang selain menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat, mahu mengekalkan cara hidup demokratik; mewujudkan masyarakat saksama; memastikan pendekatan liberal diambil terhadap adat resam dan budaya; dan membangunkan masyarakat progresif berasaskan sains moden dan teknologi.

Mohamed Salleh berkata, tugas mendraf Rukun Negara amat mencabar dengan ahli jawatankuasa perlu mencari idea mengenai bagaimana menyatukan semula rakyat selepas insiden rusuhan itu.

"Pernah berlaku keadaan amat cemas (bagi saya). Saya dipanggil Ketua Polis Negara pada waktu itu (Tun Mohamed Salleh Ismael). Beliau kata kepada saya, tengoklah, setiap 10 minit kami terima laporan (mengenai) rumah terbakar dan gaduh-gaduh," katanya.

Beberapa hari selepas berlakunya rusuhan itu, wujud keperluan untuk mendraf ordinan darurat dan sekali lagi Mohamed Salleh dipanggil untuk menyediakannya.

Ditanya apa beliau rasakan mengenai rakyat dan Rukun Negara ketika ini berbanding di masa lalu, Mohamed Salleh berkata disebabkan rakyat kini menikmati keamanan, mereka cenderung untuk melupakan falsafah kebangsaan negara itu.

"Sekarang, saya fikir disebabkan keamanan mereka nikmati, mereka lupa akan Rukun Negara. Anda pergi tanya orang apa itu Rukun Negara; mereka tidak faham … kerana mereka ambil mudah perkara ini. Rukun Negara sudahpun, boleh saya katakan, tertanam dalam hati dan amalan semua orang di negara ini.

"Mereka ambil mudah, disebabkan ia sudah ada; tetapi tidak pernah mengambil inisiatif untuk menoleh ke belakang dan lihat bagaimana ia didraf, kenapa ia didraf, kenapa ia perlu ada. Anda tidak jumpanya dalam Perlembagaan, tetapi Rukun Negara adalah selaras dengan Perlembagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 2:54 PM