Maimun (duduk tengah) bersama hakim dan anggota keluarga pada Sesi Prosiding Rujukan Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara di Mahkamah Persekutuan 1, Istana Kehakiman hari ini. FOTO BERNAMA
Maimun (duduk tengah) bersama hakim dan anggota keluarga pada Sesi Prosiding Rujukan Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara di Mahkamah Persekutuan 1, Istana Kehakiman hari ini. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Krisis Perlembagaan 1988 seharusnya menjadi satu pengajaran kepada semua hakim, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, biarpun berdepan dengan cubaan untuk menjejaskan kebebasan kehakiman, dalam apa juga keadaan hakim perlu kekal setia kepada Perlembagaan Persekutuan dan tegas dalam mendokong kedaulatan undang-undang.

"Tahun 1988 (Krisis Perlembagaan 1988) akan sentiasa diingati sebagai sejarah hitam badan kehakiman Malaysia.

"Badan kehakiman yang kebebasannya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan terbantut dengan penyingkiran Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Salleh Abbas," katanya pada Prosiding Rujukan terhadap tokoh kehakiman negara itu di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

Prosiding berkenaan turut dihadiri ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Tun Raus Sharif, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Yang di-Pertua Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn dan 39 ahli keluarga Mohamed Salleh.

Tengku Maimun berkata, sepanjang kerjayanya, Mohamed Salleh membawa badan kehakiman negara ke kedudukan yang tertinggi dan pemergiannya pada Januari 2021 dirasai di seluruh negara kerana ia juga satu kehilangan kepada Malaysia.

Beliau berkata, sewaktu menjadi Ketua Hakim Negara, kebebasan dan kredibiliti badan kehakiman negara menjadi model kepada negara lain.

Katanya, tidak dinafikan sumbangan Mohamed Salleh kepada pembangunan undang-undang dan kehakiman negara adalah berlandaskan kepada perasaan kesaksamaan dan keadilannya.

Ketegasan beliau dalam menegakkan kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman, menurut Tengku Maimun dicerminkan melalui penghakiman yang dibuatnya, manakala prinsip dan kanun yang dikemukakannya diteruskan sehingga ke hari ini.

"Allahyarham mengingatkan bahawa setiap hakim perlu menghormati konsep pemisahan kuasa dan tidak terbabit dengan cabang eksekutif atau perundangan.

"Beliau turut mengakui bahawa adalah menjadi peranan badan kehakiman untuk membatalkan (invalidate) sebarang tindakan cabang eksekutif atau perundangan menggunakan hak prerogatif writ atau pengisytiharan sekiranya ia melangkaui had yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menyentuh keperibadian Mohamed Salleh, Tengku Maimun berkata, beberapa bulan sebelum Allahyarham meninggal dunia, beliau dijemput ke Istana Keadilan untuk diraikan.

Beliau berkata, dalam temubual dengan Mohamed Salleh, Allahyarham menyatakan hasratnya untuk menyampaikan ucapan terakhir menandakan tamat perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara.

Tengku Maimun berkata, Mohamed Salleh mengakui selama beberapa dekad sejak disingkirkan, tiada penutup baginya berikutan beliau tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal kepada kakitangan mahkamah, badan kehakiman dan komuniti perundangan.

Katanya, negara dirahmati kerana pernah mempunyai seorang Ketua Hakim Negara yang teguh mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan memperjuangkan kebebasan badan kehakiman serta komuniti perundangan.

"Perlu ditekankan, bahawa kebebasan badan kehakiman daripada sebarang pengaruh luaran adalah nadi perlembagaan dalam sesebuah masyarakat berdemokrasi. Ini adalah asas kuasa kehakiman dan pusat komponen doktrin pengasingan kuasa.

"Justeru, kami dedikasikan Rujukan ini kepada Allahyarham," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 4:21 PM