NICOLE Tan Lee Koon (tiga dari kiri) dan Datuk Zazali Salehudin (tiga dari kanan) bergambar kenangan selepas menjayakan program sentuhan rakyat di Pasar Warisan Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
NICOLE Tan Lee Koon (tiga dari kiri) dan Datuk Zazali Salehudin (tiga dari kanan) bergambar kenangan selepas menjayakan program sentuhan rakyat di Pasar Warisan Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


TIADA kompromi!, itu kata-kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Zazali Salehudin terhadap tindakan peniaga yang beroperasi secara haram atau tidak mempunyai lesen dalam kawasan pentadbiran mereka.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang degil termasuk menutup perniagaan.

"Kita dapat mengesan ada kalangan warga asing yang cuba menggunakan nama isteri rakyat tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa, untuk menjalankan perniagaan.

"Tidak dinafikan ada kalangan warga asing yang cuba berselindung, tetapi kita bertindak tegas termasuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan untuk ambil tindakan.

"Kita tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan perniagaan haram atau beroperasi tanpa lesen. Anggota penguat kuasa MBS bersama Jabatan Imigresen sentiasa melakukan operasi. Setakat ini di Seremban dan Nilai adalah terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Program Sentuhan Rakyat bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon, di Pasar Warisan Jalan Utam Singh di Seremban, hari ini.

Mengenai kegiatan perjudian haram pula, Zazali berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan.

"Kita memang sentiasa memantau, jika sebelum ini banyak kes membabitkan kegiatan judi siber tetapi kini ia sudah berjaya dibanteras," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MBS memberi kelonggaran dari segi kebenaran menjalankan perniagaan kecil-kecilan kepada peniaga baharu, bagi membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.

"Kita tidak akan sekat malah MBS beri kelonggaran daripada segi kebenaran menjalankan perniagaan kecil kepada golongan berpendapatan rendah seperti suri rumah, bagi membantu mereka memulihkan ekonomi keluarga.

"Justeru, kita turut membuka beberapa tempat baharu supaya mereka boleh berniaga seperti menjual nasi lemak dan kuih muih atau sebagainya, bagi mendapatkan pendapatan tambahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 3:51 PM