AMINUDDIN (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada penjaja. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada penjaja. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


KERAJAAN Negeri Sembilan memperuntukkan RM171,600 bagi membantu penjaja tepi jalan dalam meringankan beban selepas terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, seramai 572 penjaja berkenaan yang berdaftar dan berlesen dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) serta bersetuju berpindah di tempat yang dikhaskan MBS, akan menerima bantuan dana disediakan itu.

"Bantuan tunai sebanyak RM300 secara sekali sahaja ini diberikan kepada penjaja yang bersetuju untuk berpindah ke tapak Pusat Penjaja Setempat yang disediakan pihak MBS.

"Kita (kerajaan negeri) juga turut memberikan pengecualian lesen penjaja berjumlah RM36 sebulan selama lima bulan sehingga 31 Disember tahun ini.

"Sehingga 25 Ogos lalu, seramai 175 penjaja yang sudah berdaftar dan berlesen dengan MBS menerima bayaran bantuan berkenaan," katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Penjaja Setempat 2020 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63, di Pusat Penjaja Dataran Senawang, malam tadi.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Abdul Malik dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Datuk Zazali Salehudin.

Aminuddin berkata, MBS sudah melaksanakan program penyusunan semula penjaja dengan mewujudkan Pusat Penjaja Setempat bermula Mei lalu sebagai langkah keselamatan dan mengelak gangguan orang awam terutama lalu lintas.

Beliau berkata, MBS mengenalpasti 41 lokasi dengan 890 jumlah petak yang sesuai dijadikan tapak Pusat Penjaja Setempat dan 503 di 20 lokasi sudah siap, manakala 21 tapak lagi dijangka siap

dalam tempoh terdekat.

"Setakat ini, seramai 264 penjaja sudah ditawarkan tapak berniaga dan 293 penjaja dalam proses penempatan.

"Saya berharap semua penjaja dapat mematuhi syarat yang ditetapkan MBS termasuk tidak meninggalkan sebarang peralatan di tapak perniagaan, membina sebarang binaan atau struktur di tapak yang disediakan," katanya.

Menurutnya, mereka juga tidak dibenarkan menggaji pembantu warga asing atau membenarkan lesen perniagaan digunakan pihak ketiga.

"Penjaja perlu mematuhi peraturan seperti terkandung dalam Akta, Undang-Undang Kecil dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh MBS serta agensi kerajaan yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 11:18 AM