Balqis Jazimah Zahari


KETIKA kes jenayah menurun ketara di Perak ketika tempoh Covid-19 yang lalu, jenayah komersial pula didapati meningkat dengan jumlah kerugian cecah RM23.3 juta.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata, kerugian itu bagi tempoh Januari hingga Julai yang membabitkan sejumlah 1,131 kes, iaitu meningkat 13 kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Katanya, mangsa diperdaya berkaitan penipuan dalam talian, penyelewengan jual beli, pinjaman tidak wujud, Love Scam dan pelbagai lagi.

"Kita melihat jenayah menurun agak ketara semasa Covid-19 tetapi sedikit peningkatan bagi jenayah komersial, sekali gus menyumbang kepada bertambahnya kes penipuan dalam talian.

"Kemungkinan ramai duduk rumah dan menggunakan Internet semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi peluang lakukan jenayah lain berkurangan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di Ipoh, hari ini.

Bagaimanapun, Goh berkata, Indeks Jenayah menurun 962 kes bagi Januari hingga Julai lalu berbanding tempoh sama pada 2019.

Katanya, jenayah harta benda menurun 752 kes bersamaan 33.2 peratus, manakala jenayah kekerasan berkurangan 210 kes bersamaan 32.3 peratus.

Menurutnya, dalam masa sama, Polis Perak melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mempergiatkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah antaranya, menerusi Ops Sarang Khas Selama pada 19 Jun dan 21 Julai lalu yang berjaya menangkap 94 orang.

"Selain itu, Ops Sarang Khas Mega pada 6 Julai menahan 211 orang atas pelbagai kesalahan dadah," katanya yang memberitahu misi JSJN Perak untuk mengurangkan permintaan dan bekalan dadah di Perak.

Goh (kanan) menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 sempena Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di IPK Perak, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Goh (kanan) menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 sempena Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di IPK Perak, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 11:32 AM