Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis Perak akan memperhebatkan operasi dalam menghapuskan kira-kira 41 sarang penagihan dadah yang sudah dikenalpasti di seluruh negeri tahun ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia antara sasaran utama untuk melakukan tangkapan terhadap sindiket dadah berskala besar.

"Tumpuan kita bagi tahun ini adalah untuk menghapuskan sarang penagih dan kes membabitkan pengedaran dan penagihan dadah.

"Saya sudah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di kesemua 15 daerah untuk memberi tumpuan kepada sarang dadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bagi bulan Januari 2022 di Dewan Serbaguna, Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, sarang penagih yang dikenal pasti itu terbahagi kepada pelbagai jenis lokasi.

"Sebenarnya pelbagai jenis tempat yang sudah dikenal pasti. Ada yang di kawasan perumahan, kelapa sawit dan sebagainya.

"Tempat ini akan kita hapuskan tahun ini agar tiada lagi sarang dadah di seluruh negeri Perak ini," katanya.

MIOR Faridalathrash (depan, tengah) bergambar sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
MIOR Faridalathrash (depan, tengah) bergambar sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Beliau berkata, pihaknya juga berharap masyarakat tampil untuk menyalurkan maklumat agar dapat sama-sama memperhebatkan gerakan menghapuskan pengedaran dan penagihan dadah di seluruh negeri.

"Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat kegiatan jenayah dan dadah di kawasan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata, lebih RM18 juta bayaran saman dikutip melalui program diskaun 50 peratus dan 80 peratus yang ditawarkan sejak 1 Disember hingga 30 Disember lalu.

Beliau pada majlis hari ini turut menyerahkan bantuan banjir berjumlah RM500 beserta bakul makanan kepada 41 warga PDRM Perak yang kediaman keluarga mereka terkesan banjir serta penyampaian surat penghargaan kepada 21 penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 11:55 AM