Balqis Jazimah Zahari


SUAMI isteri ditahan kerana memiliki dadah bernilai RM110,029 yang ditemui di dalam bonet kenderaan ketika serbuan polis di sebuah premis di Desa Rishah di Ipoh pada 11 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata, serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu dilakukan pada 6.30 pagi susulan risikan yang dilakukan sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, pemeriksaan awal terhadap kedua-dua suspek berusia 30 hingga 40-an itu pada awalnya tidak menemui apa-apa yang menyalahi undang-undang.

"Kami kemudiannya melakukan pemeriksaan susulan di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Buntong tetapi masih tidak menjumpai apa-apa barang terlarang.

"Seterusnya pemeriksaan dilakukan dalam bonet kereta dan menjumpai dadah jenis heroin dengan anggaran berat 6.2 kilogram (kg) dan methamphetamine seberat 549 gram," katanya ketika sidang media di IPK Perak hari ini.

Boon Keng berkata, polis turut menyita sebuah kereta BMW, seutas rantai leher, tiga cincin, tiga subang telinga dan wang tunai sebanyak RM2,100.

Menurutnya, kedua-dua saspek berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

GOH Boon Keng (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media berkenaan kes rampasan dadah di IPK Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
GOH Boon Keng (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media berkenaan kes rampasan dadah di IPK Perak. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Suspek pertama yang bekerja sebagai pemandu lori direman selama enam hari bermula 12 Jun lalu manakala suspek kedua yang berniaga di kedai runcit pula direman selama empat hari.

"Lelaki yang ditahan itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan tujuh kes curi kenderaan, satu kes memiliki senjata api dan dua kes dadah.

"Isterinya tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi kami sedang menyiasat sama ada terbabit atau tidak dalam kes itu," katanya.

Menurutnya, pihaknya difahamkan bekalan dadah berkenaan adalah untuk pasaran sekitar Ipoh.

Katanya, heroin yang dirampas itu dianggarkan mampu dipasarkan untuk kegunaan 8,200 orang, manakala methamphetamine boleh digunakan hingga kira-kira 5,500 orang.

Sementara itu, beliau berkata, JSJN Perak berjaya merampas dadah bernilai RM13.7 juta dengan nilai sitaan harta sebanyak RM3.7 juta sejak awal tahun ini hingga 12 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 2:33 PM