AYOB Khan menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang anggotanya pada Perhimpunan Bulanan PDRM Kontinjen Johor, hari ini. FOTO Bernama.
AYOB Khan menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang anggotanya pada Perhimpunan Bulanan PDRM Kontinjen Johor, hari ini. FOTO Bernama.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 18 pegawai rendah dan awam Kontinjen Polis Johor dibuang kerja kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam tempoh Januari hingga bulan lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat 11 lagi kes salah laku tatatertib membabitkan pegawai rendah polis yang membolehkan tindakan buang kerja.

"Sebanyak 256 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) telah dibuka dan daripada jumlah itu, 228 KST telah selesai dengan pencapaian sebanyak 89 peratus," ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya tidak boleh berkompromi dengan mana-mana kakitangan yang melakukan salah laku ketika bertugas.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, dalam tempoh sama, indeks jenayah di Johor menurun 40 peratus kepada 4,036 kes berbanding 6,726 kes tahun lalu.

Katanya, penurunan 32.62 peratus juga dicatat bagi jenayah kekerasan, manakala jenayah harta benda menurun 41.68 peratus.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri berjaya menangkap 12,828 atas pelbagai kesalahan dadah serta merampas 12.38 tan dadah yang bernilai RM375.93 juta, selain aset sindiket RM30.09 juta.

"Ini adalah rampasan dan sitaan kedua tertinggi antara kontinjen, termasuk kejayaan membongkar lima makmal haram dadah dan enam stor dadah dengan nilai keseluruhan RM355.34 juta selain 20 sindiket pengedaran yang ditumpaskan," katanya.

Bagi jenayah komersial, katanya, 2,764 kertas siasatan dibuka, berkurangan 27.4 peratus berbanding tahun lalu, yang menunjukkan keberkesanan tindakan pencegahan dan kesedaran orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 1:00 PM