Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Dua penganggur yang juga rakan disyaki pengedar dadah ditahan bersama dadah jenis methamphethamine dan heroin bernilai RM161,542.50 dalam serbuan berasingan di Bidor dan Teluk Intan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua suspek itu yang berusia 22 dan 37 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) susulan maklumat diperoleh.

Menurutnya, suspek pertama ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan di kawasan di tepi jalan di kawasan Bidor Perak pada 9.15 malam.

"Hasil pemeriksaan menjumpai dadah jenis 17 paket plastik lutsinar bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 14.0 gram (g) dan sepuluh bungkusan plastik bahan di syaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 4.6 kilogram (kg).

"Susulan itu, seorang lagi lelaki berusia 37 tahun ditahan di Teluk Intan dipercayai terbabit dalam kes ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, ujian saringan air kencing dijalankan ke atas kedua-dua suspek dan mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphethamine.

Katanya, semakan rekod jenayah mendapati kedua-duanya mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Menurutnya, suspek dipercayai sudah bergiat aktif sejak 10 bulan lalu dan dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di kawasan Tapah, Bidor dan Teluk Intan dengan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan untuk 15,000 orang penagih.

Katanya, sebuah kereta bernilai RM15,000 turut disita mengikut bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah bersama anggaran harta yang disita adalah RM 176,542.50.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan," katanya.

MOHD Yusri menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
MOHD Yusri menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Balqis Jazimah Zahari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 5:37 PM