JBPM Johor terima sekurang-kurangnya 20 panggilan khidmat bantuan khas kemanusiaan berkaitan menangkap haiwan berbisa setiap hari. FOTO Ihsan bomba
JBPM Johor terima sekurang-kurangnya 20 panggilan khidmat bantuan khas kemanusiaan berkaitan menangkap haiwan berbisa setiap hari. FOTO Ihsan bomba
Omar Ahmad

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor menerima sekurang-kurangnya 20 panggilan khidmat bantuan khas kemanusiaan berkaitan menangkap haiwan berbisa setiap hari sejak April lalu.

Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, panggilan khidmat itu meningkat sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini kepada 3,157 panggilan, berbanding 2,252 panggilan tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kebanyakan kes membabitkan tangkapan haiwan berbisa seperti ular, biawak serta memusnahkan sarang serangga berbisa seperti tebuan dan lebah.

"Dianggarkan dalam sehari kita terima sekurang-kurangnya 20 panggilan untuk kes khidmat khas ini dan setiap peningkatan haiwan berbisa ini di tempat awam dirujuk kepada Jabatan Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia)," katanya kepada pemberita di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Johor di Dewan Kuarters JBPM Kempas, Johor Bahru, hari ini.

YAHAYA (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Johor di Dewan Kuarters JBPM Kempas, Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad
YAHAYA (kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Johor di Dewan Kuarters JBPM Kempas, Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad

Menuurt Yahaya, panggilan kebakaran menurun dari 4,411 panggilan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu kepada 3,474 panggilan bagi tempoh sama tahun ini.

"Panggilan penyelamatan juga menurun dari 650 panggilan tahun lalu kepada 501 panggilan tahun ini.

"Kadar penurunan panggilan disebabkan pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 12:44 PM