Balqis Jazimah Zahari


POLIS membongkar sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan dengan penahanan enam individu dalam beberapa serbuan di Taiping, Selasa lalu.

Serbuan dilakukan bermula 12.45 tengah hari hingga 9.30 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman hasil risikan selepas menerima maklumat awam.

Polis melakukan lima serbuan membabitkan empat rumah di Jalan Simpang, Taman Simpang Bakti, Taman Aulong Maju dan Taman Pengkalan Ayu selain di dalam kenderaan di Pokok Assam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan berkata, mereka yang ditahan terdiri empat lelaki berusia 30-an hingga 40-an serta dua wanita berusia 35 dan 37 tahun.

Menurutnya, pihak polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM154,304 membabitkan 5,423.72 gram (g) heroin, methamphetamine (2,611.36 g) dan pil Erimin 5 (1.28 g).

KING Chuan (dua dari kanan) menunjukkan hasil barangan rampasan selepas mengadakan sidang media berkaitan sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
KING Chuan (dua dari kanan) menunjukkan hasil barangan rampasan selepas mengadakan sidang media berkaitan sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

"Polis turut merampas wang tunai RM69,256, empat kereta Perodua Myvi, masing-masing sebuah Proton Saga FLX, Toyota Vios dan Honda Accord bernilai RM209,000.

"Selain itu, turut dirampas ialah dua motosikal Yamaha Y15 dan Yamaha 135LC selain pelbagai barang kemas bernilai RM127,309," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

King Chuan berkata, sindiket itu dipercayai sudah aktif dan beroperasi di sekitar Taiping sejak Mei lalu.

Katanya, suspek pertama direman tujuh hari sehingga 21 Julai ini, manakala suspek ketiga, keempat dan kelima direman empat hari sehingga esok.

"Suspek kedua dan keenam pula direman sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

"Semakan juga menunjukkan suspek keempat dan kelima mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 7:57 PM