GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

POLIS sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter yang mendakwa hakim kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak, kononnya ada pertalian persaudaraan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu itu akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung dakwaan terbabit pada minggu depan.

"Kita sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter itu dan akan panggil minggu depan untuk rakam percakapan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas satu laporan polis diterima di Taiping, Perak, semalam dan siasatan dibuat mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, media melaporkan seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Afzanizam Abdul Rahman membuat laporan polis di Taiping berhubung satu ciapan oleh Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao di akaun Twitter.

Pada Selasa lalu, Ramesh mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan Najib dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu saudara Mahathir.

Menerusi akaun Twitter, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga anak Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan dakwaan terbabit dan menganggap ia sebagai tidak berasas serta meminta Peguam Negara menyiasat tohmahan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, polis akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan terhadap warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang terbabit dengan penyiaran dokumentari terbitan Al Jazeera yang disyaki berniat memburukkan Malaysia.

Mior Faridalathrash berkata, tindakan lanjut akan ditentukan Pejabat Peguam Negara selepas polis mengambil keterangan Md Rayhan sejak 28 Julai lalu.

"Proses keterangan daripada lelaki itu sudah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu selepas Jabatan Imigresen Malaysia memohon bantuan orang awam menjejaki individu itu yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan mengenai layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Pada 25 Julai lalu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, lelaki itu akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 8:03 PM