LAPORAN Portal Harian Metro.
LAPORAN Portal Harian Metro.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS mendapat waran untuk menggeledah tiga stesen penyiaran yang mempunyai kaitan dengan penyiaran dokumentari Locked Up In Malaysia's Lockdown 101 East, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, kebenaran geledah itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dilakukan di tiga lokasi berasingan.

Menurutnya, serbuan ke atas stesen penyiaran Al Jazeera, Astro dan Unifitv yang terletak di ibu kota itu dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang turut membuka kertas siasatan.

"Dalam serbuan berkenaan, polis merampas komputer dan semua barang rampasan itu akan dihantar ke makmal SKMM untuk analisis lanjut.

"Polis juga mengambil keterangan saksi lain ketika serbuan dijalankan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara selepas siap dilakukan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Huzir berkata, serbuan yang dilaksanakan itu berlandaskan undang-undang dan tiada individu atau entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan sekiranya jelas mencabuli undang-undang negara ini.

Dokumentari berdurasi 20 minit 50 saat yang disiarkan pada 3 Julai lalu mendakwa berlaku diskriminasi terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ketika Malaysia melaksanakan inisiatif untuk menangani pandemik Covid-19.

Penyiaran yang dianggap tidak tepat itu menyebabkan beberapa laporan polis dibuat seterusnya membolehkan siasatan dijalankan terhadap Al Jazeera.

Tindakan tidak bertanggungjawab dan cuba mencemar imej Malaysia sebagai antara negara yang berjaya mengawal wabak itu turut mengundang rasa kurang senang Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mencabar media antarabangsa itu menunjukkan bukti dakwaan berkenaan.

Menerusi temubual yang dijalankan bersama lelaki Bangladesh Md Rayhan Kabir, Malaysia digambarkan seolah-olah tidak memberi layanan yang sepatutnya kepada Pati sedangkan kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk menangani wabak itu.

Akibatnya, pada 24 Julai lalu, Md Rayhan ditahan ketika bersembunyi di kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan akan diusir dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Berita berkaitan:

  • Kertas siasatan Md Rayhan sedang dilengkapkan
  • Md Rayhan mohon maaf, tak berniat sakiti hati rakyat Malaysia
  • 'Saya tidak buat jenayah dan tidak menipu': Md Rayhan

  • Md Rayhan Kabir diusir, senarai hitam ke Malaysia selama-lamanya
  • Md Rayhan Kabir ditahan
  • Finas siasat Al Jazeera berkaitan lesen penggambaran dokumentari
  • Hormatilah tuan rumah
  • Permit kerja Rayhan Kabir sudah dibatalkan
  • 'Saya nak Rayhan Kabir jelaskan apa maksud Pati dilayan seperti binatang': KPN
  • Laporan Al Jazeera ada kecenderungan burukkan nama Malaysia [METROTV]
  • Kakitangan Al Jazeera buat laporan polis, rasa terancam
  • Al Jazeera pertahan 'Locked Up in Malaysia's Lockdown'
  • Tidak kenang budi
  • Md Rayhan Kabir diburu Imigresen
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 10:40 PM