Jho Low.
Jho Low.
Yusmizal Dolah Aling


KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dikesan bersembunyi di Macau.

Lokasi kedudukan ahli perniagaan dalam buruan itu dikesan selepas beliau melakukan beberapa transaksi sepanjang berada di negara itu.

Katanya, pada masa ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha sebaik mungkin untuk menjejaki dan membawanya ke muka pengadilan.

"Seperti yang sering saya tegaskan sebelum ini bahawa pihak polis tidak pernah berputus asa untuk membawa Jho Low kembali ke Malaysia.

"Dia sudah merompak wang negara dan kami akan terus memburunya," katanya.

Menurutnya, pihak polis tidak berniat untuk melengah-lengahkan pemburuannya yang dianggap penting bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, polis juga mendapati ahli keluarga Jho Low turut dikesan berada di sekitar Hong Kong.

"Kita akan terus mengesannya untuk mendapatkan kembali wang yang dirompak kerana disebabkannya negara dibebani hutang," katanya.

Katanya, sebelum ini PDRM sudah menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa Hong Kong, namun tidak mendapat respon positif.

Selain keluarga Jho Low, turut dikesan bersembunyi di Hong Kong adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil bersama anak dan isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 8:42 PM