Maiamalina Mohamed Amin


DEWAN Rakyat, hari ini, dimaklumkan bahawa kerajaan membelanjakan RM90 sehari untuk setiap pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan kerana menceroboh sempadan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ia bagi memastikan hak asasi Pati terpelihara termasuk makanan buat mereka, ubat-ubatan dan pakaian.

"Semasa Covid-19, kerajaan menghalang (kemasukan Pati) dan memastikan sempadan negara tidak dimasuki pelarian sama ada dari Myanmar atau negara lain.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memantau perairan, namun mereka tidak mengusir secara keras (pendatang Rohingya) tapi memberi bantuan makanan dan kesihatan kepada mereka sebelum diminta keluar dari perairan Malaysia.

"Walaupun kita bukan negara menandatangani protokol itu, tapi (beri bantuan) atas sifat perikemanusiaan. Apabila mereka mendarat, kita letakkan di depot untuk perlindungan sementara dan beri bantuan sesuai, (nilainya) RM90 sehari termasuk makanan, pakaian dan pemeriksaan kesihatannya (untuk seorang)," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang melarang pelarian Rohingya daripada mendarat di perairan Langkawi, baru-baru ini dan atas dasar kemanusiaan, adakah kerajaan akan mempertimbangkan pendekatan lain menghalang pencerobohan.

Mengulas lanjut, Dr Ismail berkata, pelan holistik keselamatan yang menekankan lima strategik dilaksana kerajaan untuk terus memastikan perairan negara terpelihara dan membabitkan kerjasama bersepadu semua agensi keselamatan berkaitan.

"Memang lorong tikus menjadi masalah besar dalam mengekang pencerobohan dan setakat ini 546 lorong dikenal pasti di seluruh negara dengan 169 daripadanya di Kelantan manakala, lima di Bachok.

"Tetapi lorong ini selalu berubah dan tidak statik, ini jadi masalah kepada kita. Kalau di Sabah, Sarawak bersempadan dengan Kalimantan, lagi sukar kerana kawasan ladang sawit yang tiada persempadanan jelas.

"Sebab itu perlunya pelan strategik, juga operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi keselamatan," katanya menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok).

Menurutnya, seramai 1,622 orang berjaya ditahan kerana menceroboh negara dengan rampasan barang bernilai RM31.5 juta sepanjang Op Benteng sejak Mei lalu.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan tekong mahupun pihak menyeludup Pati.

"Kita bertegas dan mereka yang terbabit akan dikenakan tindakan, hukuman berat," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 12:25 PM