Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 8.3 juta rokok yang bernilai RM1.58 juta dengan nilaian cukai sebanyak RM5.64 juta yang dimuatkan dalam sebuah lori berkontena di Lebuhraya Utara Selatan dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 21 Julai lalu. FOTO Ihsan JKDM
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 8.3 juta rokok yang bernilai RM1.58 juta dengan nilaian cukai sebanyak RM5.64 juta yang dimuatkan dalam sebuah lori berkontena di Lebuhraya Utara Selatan dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 21 Julai lalu. FOTO Ihsan JKDM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 8.3 juta rokok yang bernilai RM1.58 juta membabitkan nilai cukai RM5.64 juta yang dimuatkan dalam sebuah treler kontena di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 21 Julai lalu.

Pengarah JKDM Perlis, Wan Nor Wan Mamat berkata, dalam operasi itu, pihaknya itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dan mereman suspek selama 14 hari bermula 22 Julai lalu.

Menurutnya, pemandu terbabit ditahan berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam selepas memasuki ke negara ini dari Thailand.

"Maklumat berkaitan aktiviti lelaki terbabit diperolehi hasil risikan Unit Siasatan Dalaman (USD) JKDM Kuala Perlis dan suspek disyaki dalam perjalanan ke arah selatan dengan membawa semua rokok berkenaan.

"Ketika suspek diperiksa di ICQS, dia telah mengisytiharkan semua rokok berkenaan sebagai pelembut fabrik bagi mengaburi pihak berkuasa dan ini secara tidak langsung membuatkan pihak risikan mula bertindak mengikuti suspek.

"Selepas memeriksa barangan di dalam kontena treler, dia memuatkan pelbagai jenis rokok di dalam 300 buah kotak yang berlogo pelembut fabrik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Perlis.

Wan Nor berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada suspek turut terbabit dengan rangkaian sindiket penyeludupan rokok atau sekadar pemandu barangan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 dan Akta Eksesais 1976 dan jumlah rampasan termasuk cukai berjumlah RM7.22 juta," katanya.

Sementara itu, dalam rondaan Op Benteng di Perlis, JKDM Kuala Perlis berjaya merampas 528 kilogram daun ketum yang bernilai RM21,540 dalam dua serbuan di sebuah bangsal tinggal di sekitar Kuala Perlis dan sebuah jeti sementara di Kampung Pulau Ketam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 4:45 PM