Sebuah lori berpendaftaran Thailand yang tiba di Kompleks ICs Padang Besar dengan membawa kontena tertera nama ZIM diarahkan berpatah balik ke Thailand. FOTO IHSAN JKDM PERLIS
Sebuah lori berpendaftaran Thailand yang tiba di Kompleks ICs Padang Besar dengan membawa kontena tertera nama ZIM diarahkan berpatah balik ke Thailand. FOTO IHSAN JKDM PERLIS
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebuah lori kontena membawa muatan dagangan ayam sejuk beku yang baharu tiba dari Thailand di Padang Besar pada Ahad lalu diarahkan berpatah balik oleh penguatkuasa Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis selepas didapati kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.03 tengah hari, selepas kenderaan itu memasuki terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar.

"Tujuan lori itu memasuki terowong pengimbas itu adalah sebagai prosedur melakukan pengikraran Borang K1 yang bertujuan melakukan pengimportan dagangan ke dalam negara ini.

"Semasa proses imbasan imej itu, pengendali mesin pengimbas itu mengesan kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena itu.

"Oleh hal demikian, kita menahan lori kontena itu bagi mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, hasil semakan bersama pihak agensi kerajaan yang lain mendapati ternyata kontena itu adalah dilarang memasuki negara ini kerana dipercayai adalah milik syarikat berpengkalan dari Israel.

"Disebabkan itu juga, kita segera mengarahkan lori kontena yang berisi barang dagangan berkenaan berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 8:44 AM