WAN Nor (tengah) dan pegawainya menunjukkan gambar wang tunai yang dirampas kelmarin. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
WAN Nor (tengah) dan pegawainya menunjukkan gambar wang tunai yang dirampas kelmarin. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk wang tunai RM1.42 juta, dipercayai untuk penggubahan wang haram di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

Pengarah JKDM Perlis, Wan Nor Wan Mamat berkata, pihaknya turut menahan tiga warganegara Thailand termasuk dua wanita berusia antara 22 hingga 32 tahun pada 3.40 petang kelmarin.

Katanya, semua suspek yang dari Bangkok dalam perjalanan ke Genting Highlands, Pahang menaiki sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Thailand.

“Ketika melalui laluan kereta di Kompleks ICQS, mereka ditahan dan ditanya mengenai muatan dibawa.

“Pada awalnya pemandu lelaki mengaku membawa sejumlah wang tunai dalam Ringgit Malaysia sebanyak RM40,000.

“Bagaimanapun selepas melihat keadaan masing-masing yang mencurigakan, anggota mengarahkan ketiga-tiganya turun untuk pemeriksaan keseluruhan,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Padang Besar hari ini.

Wan Nor berkata, selepas pemeriksaan itu, pihaknya berjaya menemui wang tunai berjumlah keseluruhan RM1,425,000 yang disorokkan di dalam dua bagasi pakaian di bahagian simpanan kereta.

“Mereka menyembunyikan wang itu bersama timbunan pakaian di dalam bagasi. Untuk itu ketiga-tiga ditahan dan kini direman sehingga 18 Disember untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(a), Seksyen 135 (1)(g)(III)(aa) Akta Kastam 1967 dan 28B (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Jelasnya siasatan lanjut turut dijalankan bagi menyiasat tujuan sebenar wang itu dibawa masuk.

Katanya, itu adalah kejadian kedua dalam tempoh dua tahun pihaknya mematahkan cubaan penyeludupan wang haram.

“Kejadian pertama pada 2018 membabitkan RM400,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 7:34 PM