GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


SURI rumah dikenakan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Selangor di Facebook pada Jun lalu.

Hakim Rihaida Rafie menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Nurul Ain Mat Nayan, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah dan boleh dikenakan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Siti Nurul Ain didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet menerusi telefon bimbit Samsung A30 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik berkaitan kerabat diraja Selangor di Facebooknya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Istana Mestika, Seksyen 7, Shah Alam, pada 10.26 pagi 26 Jun lalu.

Tertuduh yang berasal dari Pekan, Pahang didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar lebih sensitif serta peka sebelum membuat apa-apa hantaran di media sosial.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam kelihatan sebak dalam rayuannya agar hukuman lebih ringan dikenakan terhadapnya dengan alasan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi.

Tertuduh memaklumkan anak perempuannya yang berusia tiga tahun trauma dengan insiden dihadapinya, justeru dia merayu agar hukuman diringankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 4:06 PM