Norzamira Che Noh

SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Selangor di laman Facebook pada 2018.

Muhammad Hariz Saleh, 28 selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Muhamad.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hariz didapati memuatnaik dua komen berasingan menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu laman Facebook 'Hxryz Jxck' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat menganiayai orang lain.

TERTUDUH Muhammad Hariz, mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Selangor di laman Facebook pada 2018. FOTO Faiz Anuar
TERTUDUH Muhammad Hariz, mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Selangor di laman Facebook pada 2018. FOTO Faiz Anuar

Kedua-dua pautan itu dibaca pada 22 Mac 2018 kira-kira 10.59 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan Muhammad Hariz boleh dipenjara maksimum setahun dan di denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Norhani Adzhar sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh juga menolak untuk mendapatkan khidmat peguam dan mahkamah menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 2:39 PM