Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Pereka dalaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menghasut dan memuat naik hantaran jelik berkaitan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di laman sosial Instagram pada November tahun lalu.

Tertuduh, William Khor Wai Lun, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap YDPA di sebuah rumah di Taman Bukit Teratai, Ampang di sini, pada jam 3.31 pagi, 20 November tahun lalu.

Berikutan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(9) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan akaun bernama williamkhor87 di Instagram.

Hantaran itu dibaca pada jam 8 malam, 21 November lalu di lokasi sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun dengan denda sehingga RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman yang mengendalikan kes menawarkan ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran bersifat jelik dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Rajsurian Pillai memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang menetap di Kajang, menjaga kedua ibu bapa mempunyai masalah kesihatan.

Namun beliau membantah syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah kerana ia bukan kes keganasan.

Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan melapor diri sekali setiap bulan serta tidak membuat sebarang hantaran berhubung kes ini.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 5 April depan.

Pada 23 November lalu, Harian Metro melaporkan polis menahan lelaki yang memuat naik kandungan berunsur ancaman bunuh terhadap YDPA dengan menggunakan akaun Instagram memuatnaik kandungan itu bersama foto Baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 12:21 PM
WILLIAM Khor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, atas tuduhan menghina Agong. FOTO Fathil Asri
WILLIAM Khor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, atas tuduhan menghina Agong. FOTO Fathil Asri