SITI Nurul Ain mengaku bersalah membuat hantaran komunikasi jelik di Facebook terhadap kerabat diraja Selangor pada Jun lalu. FOTO ihsan IPD Shah Alam
SITI Nurul Ain mengaku bersalah membuat hantaran komunikasi jelik di Facebook terhadap kerabat diraja Selangor pada Jun lalu. FOTO ihsan IPD Shah Alam
Norzamira Che Noh


SEORANG suri rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Selangor di laman Facebook pada Jun lalu.

Tertuduh, Siti Nurul Ain Mat Nayan, 32, yang berasal dari Pekan, Pahang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, Siti Nurul didapati menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu internet melalui telefon bimbit jenis Samsung A30 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelek mengenai kerabat diraja Selangor di Facebooknya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dan menetapkan hukuman akan dijatuhkan pada Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 4:19 PM