ANGGOTA bomba membantu meleraikan permainan yang tersepit pada jari bayi lelaki berusia enam bulan. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu meleraikan permainan yang tersepit pada jari bayi lelaki berusia enam bulan. FOTO Ihsan Bomba
Muhaamad Hafis Nawawi


BAYI lelaki berusia enam bulan menangis dan terpaksa menahan kesakitan beberapa minit selepas jarinya tersepit pada alat permainan di kediamannya di Perumahan Polis Kelompok Melati 10, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nik Mohd Faizuadi Mohd Nawi berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 1.25 tengah hari.

Menurutnya, susulan laporan itu pihaknya menghantar jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dengan kekuatan sembilan anggota.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian, terdapat mangsa bayi lelaki tersepit di bahagian jari pada alat permainan.

"Anggota menggunakan peralatan rescue tool untuk memecahkan alat permainan itu dengan menggunakan alat pemotong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Mohd Faizuadi berkata, kanak-kanak terbabit tiada mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.06 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 4:15 PM