Bomba menyelamatkan mangsa yang terkandas dalam lif di tingkat tujuh Flat Sri Sabah.
Bomba menyelamatkan mangsa yang terkandas dalam lif di tingkat tujuh Flat Sri Sabah.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tiga lelaki dan seorang wanita berdepan detik cemas selepas terkandas dalam lif di tingkat tujuh Flat Sri Sabah di Jalan Ikan Ayu, Taman Kobena, di sini, hari ini.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Razi Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 1 tengah hari berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dihantar ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan.

"Setibanya jentera di lokasi, terdapat lif terkandas di tingkat tujuh dan ada mangsa di dalamnya.

"Operasi menyelamat menggunakan kunci lif dan berjaya menyelamatkan empat mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada 1.21 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 2:15 PM