ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan. Foto Ihsan BOMBA
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan. Foto Ihsan BOMBA
Essa Abu Yamin


Tangkak: Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya merempuh treler berhampiran stesen minyak di Jalan Kesang, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataannya berkata, dalam kejadian 6.14 pagi itu, kereta Proton Wira dipandu Eu Fo@Eu Ann Hui, 72, terperosok di bawah treler.

"Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di dalam kereta dan pihak bomba mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut kenyataan itu, pemandu treler yang berusia 33 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dan BBP Muar, dua jentera Fire Rescue Team (FRT), dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Operasi ditamatkan pada 7.26 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 9:55 PM