Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan


KERAJAAN memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif air, terutama dalam situasi rakyat berdepan bebanan ekonomi dan pandemik Covid-19 yang belum selesai.

Menteri Alam Sekitar dan Air Putrajaya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai kerajaan prihatin dengan nasib dan bebanan dihadapi rakyat, kerajaan memberi jaminan tidak akan menyusahkan rakyat.

"Saya ingin memberi jaminan sebarang semakan tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa depan akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

"Perkara ini akan diperhalusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai badan kawal selia industri air negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat) sama ada kerajaan dapat menjamin tarif air di Lembah Klang tidak naik selepas kerajaan menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2 kepadaPengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Beliau berkata, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 bertujuan memastikan kelangsungan bekalan air terawat di Lembah Klang sehingga 2025, yang akan menaikkan margin rizab air terawat dari 3.8 peratus hingga 10 peratus.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAP) melabur lebih RM4 bilon secara pinjaman untuk projek ini dan mampu membekalan ari terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari apabila ia siap sepenuhnya pada 2023.

"Ini tidak termasuk peruntukan sebanyak RM3.9 bilion bagi membawa air mentah dari Empangan Kelau, di Pahang untuk dirawat di Loji Air Langat 2.

"Projek ini akan diserahkan kepada Air Selangor berdasarkan perjanjian penstrukturan semula industri bekalan air selangor yang ditandangani pada 2014.

"Air selangor dijangka membayar balik sewa pajakan berjumlah RM232 juta setahun kepada PAAP selama 45 tahun, namun kadar sewa pajakan lebih rendah berbanding kadar komersial lain kerana pinjaman PAAP dijamin Kerajaan Persekutuan," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, seperti projek lain, peruntukan ke atas projek ini diterjemahkan dalam bentuk tarif yang bersesuaian bagi memastikan Air Selangor mampu membayar sewa pajakan kepada PAAP.

Katanya, ini merangkumi kos keseluruhan pembanguann projek dan kos operasi air dan loji merangkumi kos rawatan, agihan, perkhidmatan pelanggan dan pentadbiran.

"Perkara ini penting bagi memastikan kemampanan kewangan Air Selangor dalam jangka masa panjang supaya operasi Loji Langat 2 tidak terganggu dan rakyat mendapat air bersih mencukupi menjelang 2023," katanya.

Menjawab soalan tambahan Hasanuddin sejauh mana kerajaan akan memanfaatkan sumber air bersih dari negeri lain, Tuan Ibrahim berkata, kementerian sedang melakukan kajian untuk mewujudkan lebuh raya air utk menampung keseluruhan bekalan air bagi negeri yang mempunyai banyak bekalan air.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 11:44 AM