FOTO hiasan. FOTO NSTP
FOTO hiasan. FOTO NSTP
Roselan Ab Malek


ISU pemakaian pelitup muka dalam kalangan pelajar sepatutnya tidak lagi timbul dan boleh dianggap sudah selesai.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengumuman dibuat beliau sebelum ini sudah jelas dan pelajar tidak diwajibkan memakai pelitup muka, kecuali mereka yang bergejala.

"Sebelum ini, terdapat segelintir ibu bapa yang menyatakan kekeliruan kerana terdapat kenyataan dikeluarkan pihak tertentu yang mewajibkan pelajar memakai pelitup muka.

"Ia hanya diwajibkan kepada mereka yang bergejala seperti demam atau batuk sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Keusahawanan Sahabat AIM, Dalam Mendepani Cabaran Norma Baharu di Bera, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Junaidah Kiting dan Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut mempersoalkan tindakan sesetengah pemilik pasar raya yang mewajibkan pemakaian pelitup muka oleh pelanggan sebelum memasuki premis mereka.

Terdahulu, Ismail Sabri meminta usahawan AIM bangkit semula untuk meneruskan kehidupan dengan kebiasaan baharu yang teratur, berdisiplin dan lebih terancang, selepas empat bulan terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Saya faham, kesan pandemik ini sangat besar untuk kita semua terutamanya kepada Sahabat AIM yang boleh dikatakan hampir kesemuanya peniaga kecil dan sederhana.

"Pendapatan terjejas teruk kerana perniagaan perlu dihentikan dan ramai di antara Sahabat AIM yang sebelum ini berada dalam kelompok B40 kini masuk ke dalam kelompok B20 dan B10," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 4:06 PM