Suraya Roslan


PEMAKAIAN pelitup muka untuk pelajar tidak diwajibkan dan pentadbiran sekolah hanya perlu menyediakan sabun atau cecair pembasmi kuman tangan, melakukan saringan gejala serta suhu badan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pentadbiran sekolah hanya perlu menyediakan pelitup muka sekiranya terdapat pelajar atau kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala ketika sesi persekolahan.

"Seperti ditetapkan dalam Garis Panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak sekolah hanya perlu memastikan penyediaan sabun atau pensanitasi tangan, melakukan saringan gejala dan suhu badan.

"Pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan dan pihak sekolah hanya perlu menyediakan pelitup muka sekiranya terdapat pelajar atau kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala semasa sesi persekolahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, garis Panduan KPM boleh dimuat turun dari laman sesawang https://www.moe.gov.my/en/pemberitahuan/announcement/gp-buka-sekolah untuk maklumat lanjut.

GURU mengambil bacaan suhu pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Utama. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
GURU mengambil bacaan suhu pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Utama. FOTO Muhd Asyraf Sawal.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan ke atas 19,372 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dari 10 Jun sehingga 16 Julai lalu.

"Daripada jumlah ini, 19,298 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

"Seramai 74 individu didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 594 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui KLIA dan klia2 dari Singapura, Indonesia, Arab Saudi, Oman, Kemboja dan Jepun setakat semalam," katanya.

Menurutnya, 593 individu diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang individu dibawa ke hospital.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng berjaya menahan lima warga asing atas kesalahan imigresen dalam mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 66 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,151 kenderaan bagi mengekang pendatang asing tanpa izin terutama di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 3:47 PM