MEDAN Kidd. FOTO Arkib NSTP
MEDAN Kidd. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KERAJAAN Perak merangka pembinaan Ipoh Sentral bagi menggantikan Stesen Bas Medan Kidd di Ipoh yang tidak memenuhi aspek keselamatan dan kriteria ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selain kedudukannya kurang strategik.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pembinaan Ipoh Sentral akan menjadi hub perhubungan pengangkutan awam pertama di bandar Ipoh yang menghubungkan lebih daripada satu pengangkutan awam.

"Keadaan bangunan Stesen Bas Medan Kidd semakin usang susulan tiada sebarang penambahbaikan infrastruktur dilaksanakan selama 60 tahun. Kerajaan tidak membuat sebarang naik taraf berikutan stesen berkenaan bukan milik kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Komunikasi Strategik Perak, hari ini.

Menurut Mohd Zolkafly, kedudukan Stesen Bas Medan Kidd kini tidak lagi strategik sehingga menyukarkan pergerakan bas selain jalan utama sekitarnya sering sesak dengan kenderaan lain.

Beliau berkata, pihaknya bersama Perak Transit dalam usaha untuk mencari tapak baharu pembinaan Ipoh Sentral yang juga berperanan sebagai terminal bersepadu dengan menggabungkan beberapa pengangkutan awam darat seperti bas, teksi dan kereta api.

Selain itu, bas mini akan disediakan bagi memudahkan ia memasuki kawasan berlaluan sempit dan kecil, selain komited untuk menambah baik pengangkutan awam dan infrastruktur di luar bandar demi keselesaan rakyat.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) (di Perak) turut digesa untuk menambah baik terminal bas di setiap daerah dalam usaha menaik taraf infrastruktur pengangkutan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 11:19 PM