Laporan Harian Metro semalam
Laporan Harian Metro semalam
Safeek Affendy Razali dan Nor Azizah Mokhtar


AHLI politik bergelar Datuk yang pernah menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dipercayai menjadi dalang utama kes culik seorang ahli perniagaan yang mayatnya ditemui di kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya, semalam.

Sumber memaklumkan, suspek bersekongkol dengan seorang peguam (peguamcara dan peguambela) untuk melakukan penculikan itu bersama dua lagi suspek ketika mangsa sedang berjoging bersendirian pada 10 Jun lalu.

"Ketiga-tiga suspek menghampiri mangsa dan mendakwa mereka adalah anggota polis sebelum memaksa mangsa masuk ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 10.30 pagi hari kejadian.

"Selepas diculik, mangsa dibawa bertemu dengan dalang utama sebelum disembunyikan di beberapa lokasi termasuk sebuah rumah teres di Taman Kosaso, Rawang," kata sumber.

Menurut sumber, beberapa saksi melihat kejadian itu dan barangan peribadi milik mangsa seperti telefon bimbit, cermin mata dan topi turut ditemui ditinggalkan di taman permainan berkenaan.

"Keluarga mangsa kemudiannya dihubungi satu nombor telefon tidak dikenali meminta mereka membayar wang tebusan berjumlah S$50 juta (RM154 juta) sebelum mereka membuat laporan polis.

"Suspek dipercayai melakukan penculikan itu kerana mahu mangsa memulangkan semula wang yang dilaburkan untuk satu projek perumahan yang dikatakan tidak dilaksanakan," kata sumber itu lagi.

Hasil siasatan polis, dalang utama berusia 50-an itu berjaya ditahan di kediamannya di ibu negara malam kelmarin bagi membantu siasatan.

Harian Metro semalam melaporkan polis menahan tujuh lelaki termasuk dalang utama berhubung kes culik dan bunuh ahli perniagaan yang juga seorang pemaju hartanah bergelar Datuk Seri itu.

Semua suspek termasuk seorang warga Bangladesh berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Selangor sejak 11 pagi kelmarin.

Berita berkaitan

Kes culik, bunuh Datuk Seri: Polis buru EL

Datuk Seri diculik ditemui mati

Tebusan RM154 juta diminta [METROTV]

Datuk jadi dalang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 5:19 PM