PASUKAN polis membawa suspek ke lokasi pembuangan mayat ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.
PASUKAN polis membawa suspek ke lokasi pembuangan mayat ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.
Skuad Khas Harian Metro


KELUARGA ahli perniagaan berstatus Datuk Seri yang diculik sekumpulan lelaki pada 10 Jun lalu tidak sempat membayar wang tebusan yang diminta kerana ketika itu mangsa difahamkan sudah meninggal dunia.

Wang tebusan yang diminta pada mulanya adalah S$50 juta (RM154 juta), tetapi dikurangkan kepada S$9 juta (RM27.7 juta) selepas tawar-menawar antara kedua-dua pihak.

Keluarga mangsa dikatakan bersetuju dengan jumlah terakhir ditetapkan dengan syarat dapat bercakap dengan mangsa.

"Suspek pernah menurunkan jumlah wang tebusan kepada S$28 juta (RM86.2 juta) sebelum mengurangkan jumlah itu kepada S$9 juta (RM27.7 juta).

"Tiada pembayaran wang tebusan ketika itu berikutan keluarga mangsa gagal untuk bercakap dengan mangsa yang dipercayai sudah mati sebelum mereka bertindak membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati akibat sesak nafas namun punca sebenar kematiannya hanya akan diketahui apabila bedah siasat penuh dilakukan di Hospital Sungai Buloh pada Khamis ini.

"Belum dapat dipastikan sama ada mangsa didera teruk penjenayah sepanjang tempoh dia diculik bermula 10 Jun. Malah, ketika ditemui keadaan mayat mangsa sudah mula mereput.

"Melalui pemerhatian unit forensik, mayat mangsa yang ditemui di belukar Batu 27, Jalan Rawang-Bestari Jaya kelmarin, sudah mati sejak empat hari lalu," katanya.

Sementara itu, Harian Metro juga difahamkan suspek utama bergelar Datuk adalah ahli politik yang pernah menjadi calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

LAPORAN Metro Ahad, semalam.
LAPORAN Metro Ahad, semalam.

Malah, suspek pernah bertanding untuk jawatan timbalan presiden pemilihan sebuah parti politik namun menarik diri pada saat akhir.

Suspek didakwa turut dibantu seorang peguam untuk melakukan jenayah culik itu ketika mangsa sedang beriadah di Taman Permainan, Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara di sini, 10 Jun lalu.

Kumpulan suspek dikatakan menyamar sebagai anggota polis sebelum memaksa mangsa masuk ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kira-kira jam 10.30 pagi hari kejadian.

Mangsa kemudian dibawa bertemu dengan dalang utama sebelum disembunyikan di beberapa lokasi termasuk sebuah rumah teres di Taman Kosaso, Rawang.

Suspek dipercayai melakukan penculikan itu kerana mahu mangsa yang juga kenalannya memulangkan semula wang yang dilaburkan untuk satu projek perumahan yang dikatakan tidak dilaksanakan.

Dalang utama berusia 50-an itu ditahan polis di rumahnya di ibu negara malam Jumaat lalu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat mengesahkan tiada pembayaran wang tebusan dilakukan keluarga mangsa terhadap kumpulan penjenayah yang berjaya diberkas itu.

Berita berkaitan

Pembunuhan Datuk Seri bermotifkan wang

EL dah kena tahan, polis kini cari Thamby

Kes culik, bunuh Datuk Seri: Polis buru EL

Datuk jadi dalang

Tebusan RM154 juta diminta [METROTV]

Datuk Seri diculik ditemui mati

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 8:31 AM