A.KARIM berusaha menjemur ikan kering apabila cuaca mula cerah di Kampung Baru Kuala Benut. FOTO Omar Ahmad
A.KARIM berusaha menjemur ikan kering apabila cuaca mula cerah di Kampung Baru Kuala Benut. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


BANJIR yang melanda Kampung Baru Kuala Benut, Pontian tiga hari lalu menyebabkan seorang pengusaha ikan kering menanggung kerugian hampir RM5,000.

Ini kerana 300 kilogram stok ikan segar yang digunakan A Karim Othman, 64, untuk membuat ikan kering menjadi busuk akibat peti sejuk beku ditenggelami air.

Katanya, ini adalah kejadian pertama kali berlaku sepanjang menjadi pengusaha ikan kering sejak 15 tahun lalu.

"Memang ini dugaan saya. Baru lima hari stok ikan segar dibeli daripada peraih.

"Apabila banjir melanda tiga hari lalu, peti sejuk beku itu rosak akibat ditenggelami air.

"Ada 300 kilogram ikan gelama, ikan duri dan haruan pasir untuk diproses dijadikan ikan kering membusuk dan rosak," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurut A Karim, sebelum ini walaupun berdepan dengan cuaca buruk dia tidak mengalami kerugian kerana stok ikan segar boleh disimpan dalam peti sejuk beku.

"Walaupun musim hujan, bekalan ikan segar boleh disimpan dalam peti sejuk beku tetapi kali ini apabila rumah dinaiki air, peti sejuk beku rosak menyebabkan stok ikan segar tidak dapat disimpan lama," katanya.

Sementara itu, sehingga jam 3 petang tadi, 57 mangsa dari 13 keluarga di Kampung Baru Kuala Benut masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 3:54 PM