FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Kuala Muda: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah memberi jaminan bekalan ikan di negeri ini mencukupi sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka menyebabkan nelayan tidak dapat keluar ke laut.

Pengarahnya, Dr Abdul Halim Tajudin berkata, pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya 10 tan bekalan ikan sejuk beku yang disimpan di Pelabuhan LKIM Kuala Kedah dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Menurutnya, ikan sejuk beku berkenaan adalah hasil tangkapan nelayan seluruh negeri dan memang disimpan bagi kegunaan pada musim tengkujuh atau mengikut keperluan pasaran.

"Selain itu, kita juga akan mula membuat stok penimbal (penyimpanan ikan) secara agresif bermula Disember ini, di mana paling kurang sebanyak 10 tan bekalan ikan akan dibekukan menggunakan teknik Individual Quick Freezing (IQF).

"Stok simpanan ini adalah terdiri ikan segar seperti ikan kembung, cencaru dan selayang yang kita panggil sebagai ikan rakyat kerana ia sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Jubli Emas LKIM dan gotong royong bersama nelayan di Tanjung Dawai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, simpanan bekalan ikan sejuk beku ini juga mampu membantu menstabilkan harga ikan ketika nelayan tidak dapat keluar menangkap ikan akibat musim tengkujuh.

Katanya, ikan sejuk beku yang disimpan pihaknya dijamin berkualiti sama seperti ikan segar dan akan dijual pada harga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa bagi memastikan pengguna tidak terkesan.

"Kita akan tetapkan stok ini pada harga termurah sekali, kita akan simpan semua ikan di bilik sejuk beku yang mampu memuatkan hampir 100 tan ikan kerana kita tahu apabila tiba musim tengkujuh permintaan akan tinggi, namun pendaratan ikan kurang.

"Jadi apabila harga pasaran didapati semakin naik, kita akan keluarkan stok ikan sebagai pengimbang harga pasaran. Contohnya ikan temenung, kita akan jual paling tinggi sekali pun cuma RM8 sekilogram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 4:03 PM