Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bukit Gantang: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang membaik pulih bilik sejuk beku bagi menyimpan ikan segar untuk kegunaan orang ramai ketika berdepan musim tengkujuh nanti.

Pengerusinya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata biarpun kini sedang mempersiapkan dan membaik pulih bilik sejuk beku berkapasiti 1,500 metrik tan yang sebelum ini dikatakan tidak digunakan sebagai persediaan awal untuk membeli ikan dari nelayan.

"Dalam masa terdekat ini insya-Allah LKIM akan mula membuat pembelian ikan dan ditempatkan di dalam peti sejuk beku yang kini sedang dibaik pulih.

"Ikan sejuk beku yang dimaksudkan adalah ikan segar yang kita beli dari nelayan dan disimpan di dalam peti sejuk beku sebelum dijual dengan harga murah pada musim tengkujuh iaitu pada bulan November hingga Mac," katanya dalam sidang media selepas program Jasamu Dikenang dan Pelancaran Buku di sini hari ini.

SYED Abu Hussin Hafiz (tengah) ketika sidang media. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SYED Abu Hussin Hafiz (tengah) ketika sidang media. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Ditanya mengenai aktiviti kartel, beliau berkata, ia akan terus wujud dan memonopoli hasil selagi LKIM tidak membuat pembelian ikan dari nelayan tempatan.

"Kartel ikan ini masih berjalan selagi tiada usaha dari LKIM untuk beli, beku dan simpan ikan daripada nelayan.

"Kita yakin masalah ini dapat diselesaikan sekiranya kita mula membuat belian ikan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 4:10 PM