DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Firdaus Ibrahim dan Amir Abd Hamid


SEKIRANYA terdapat kes positif Covid-19 berkaitan majlis sosial yang dianjurkan di hotel atau restoran, maka lokaliti berkenaan akan ditutup.

Itu tegas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah apabila ditanya rasional kerajaan untuk memberi kebenaran bagi penganjuran majlis sosial bermula 1 Julai depan seperti diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan kebenaran penganjuran majlis sosial merangkumi kenduri majlis perkahwinan atau pertunangan, aqiqah atau doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun atau hari jadi, 'reunion' dan lain-lain.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun kebenaran bagi melaksanakan majlis sosial itu sudah diberikan semula tetapi pemantauan tetap dilakukan.

"Majlis sosial, jika ada penularan (virus Covid-19) dalam majlis atau pun lokaliti itu, kita akan tutup lokaliti berkenaan atau hotel atau restoran itu (tempat majlis diadakan).

"Kita benarkan majlis sosial tetapi kita pantau sama ada terdapat kes positif. Kalau kes positif dikesan atau ada kluster baharu yang ditemui, kita akan jalankan tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas kebimbangan masyarakat jika pihak yang menghadiri majlis sosial itu mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) terutamanya penjarakan sosial, Dr Noor Hisham berkata, tindakan akan diambil jika berlaku pelanggaran.

"Kita mulakan kebiasaan dengan SOP. Jadi kehidupan kita kembali macam normal tetapi dengan SOP.

"Jika kita boleh kawal Covid-19 dalam masyarakat dengan patuh kepada SOP sahaja, mungkin itulah cara yang terbaik berbanding kita duduk di rumah. Sampai bila kita nak duduk di rumah?" katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan supaya makan secara berhidang bukannya buffet untuk semua majlis sosial.

"Kajian dalam New England Journal of Medicine nyatakan dengan jelas, patuh kepada SOP sahaja kita boleh kurangkan jangkitan Covid-19 sehingga 65 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 8:32 PM