GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Meskipun trend menunjukkan kes Covid-19 semakin menurun namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semua pihak tetap patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes dan kluster rentas negeri bukan saja mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 kepada zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung halaman juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.

Menurutnya, sehubungan itu, semua pihak disaran patuh kepada SOP digariskan dalam semua keadaan bagi memastikan usaha dijalankan tidak menjadi sia-sia.

"Ini termasuklah kepatuhan terhadap larangan merentas negeri kecuali jika ada perkara mustahak dan perlu mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bagi negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri adalah dibenarkan melalui Program Gelembung Pelancongan Domestik atau Travel Bubble yang membolehkan pelancong dari PKPP bergerak merentas ke negeri di bawah PKPP yang lain.

"Aktiviti itu tertakluk kepada SOP yang ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selain itu, rakyat perlulah mengamalkan tindakan pencegahan sebagai norma baharu kehidupan seperti yang disarankan oleh KKM seperti penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri, dan memakai pelitup muka di tempat awam.

"Semoga dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia dan tindakan kesihatan awam yang sedang dijalankan, Malaysia dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan bebas daripada pandemik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 8:34 PM