BERNAMA

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berharap tiada penularan berita palsu atau fitnah berlaku dalam media sosial sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Beliau berkata, media sosial dijangka menjadi antara medium utama berkempen memandangkan PRK itu berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyebabkan kempen yang membabitkan kehadiran dalam jumlah besar tidak dibenarkan.

"Kita harap tidak berlaku penularan fitnah atau berita palsu dan yang paling penting tolong jangan kongsi perkara tidak benar… untuk pastikan kesahihan berita cukup mudah kerana hanya perlu klik portal sebenarnya.my.

"Jika berlaku penularan berita palsu atau fitnah, kita boleh mengambil tindakan jika menerima laporan sama ada oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau pihak polis," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Internet Semambu di Kuantan, hari ini.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK diadakan pada 4 Julai ini.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 5:50 PM