GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG peniaga kerugian kira-kira RM60,000 angkara perbuatan dua pembantu rumah warga Indonesia melarikan pelbagai barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit dari kediamannya di Lorong Tasik Permai, Ampang Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 59 tahun selepas mendapati kedua-dua pembantu rumah berkenaan tiada di rumah jam 8.30 pagi.

Katanya, mangsa yang membuat pemeriksaan mendapati beberapa barang kemas seperti rantai emas dan wang tunai RM2,800 dan dua telefon bimbit hilang.

"Susulan laporan polis dibuat mangsa, dua suspek dikenali sebagai Erna dan Diana yang masing-masing berusia 24 serta 25 tahun sedang dijejaki.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri," katanya hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya talian 03-42897222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 1:48 PM