GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Polis menahan seorang wanita dan memburu suami warga Indonesia kerana dipercayai menyebabkan kematian bayi lelaki mereka di Kampung Klang Gate, Ampang dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bayi lelaki berusia enam bulan itu dikatakan terjatuh dari katil kediaman mereka dan dilaporkan meninggal dunia pada jam 4.30 petang semalam.

"Namun selepas pemeriksaan dijalankan, terdapat kesan lebam di bahagian peha kanan dan kening atas mata mangsa. Pasukan perubatan mengesyaki terdapat unsur penderaan.

"Susulan itu, Pegawai Perubatan yang bertugas di Zon Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tunku Azizah membuat laporan polis kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin, "katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya kemudian menahan suspek berusia 34 tahun ditangkap di Lobi Utama Tingkat 2, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah Kuala Lumpur di sini, pada jam 8.40 malam tadi.

"Suspek tidak mengaku membunuh mangsa namun mendakwa anaknya ada mengalami kecederaan pada bahagian dahi dan kening akibat terjatuh dari katil semasa dalam jagaannya beberapa hari sebelum dibawa ke hospital.

"Semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai elektrik di ibu negara, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing turut bebas sebarang jenis dadah, "katanya.

Mohamad Farouk berkata, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh ,"katanya.

Dalam pada itu, katanya pihak polis kini sedang berusia mengesan suami suspek, iaitu seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun untuk membantu siasatan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 11:05 AM