ANTARA barang yang dirampas dalam dua serbuan Operasi Noda di dua premis rumah kedai di D’ Pandan Business Square dan Taman Bukit Teratai, Ampang Jaya, semalam. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang yang dirampas dalam dua serbuan Operasi Noda di dua premis rumah kedai di D’ Pandan Business Square dan Taman Bukit Teratai, Ampang Jaya, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Polis menahan 11 warga asing termasuk enam wanita dan tiga lelaki tempatan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian dalam dua serbuan di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, serbuan dilakukan ke atas rumah kedai di D' Pandan Business Square dan Taman Bukit Teratai, di sini, dalam Ops Dadu bermula 3 petang.

"Dalam serbuan di D' Pandan Business Square, polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh dan dua warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia 24 hingga 40 tahun serta tiga lelaki tempatan berusia 48 hingga 71 tahun.

"Polis merampas 10 komputer riba dan beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti judi dalam talian dalam serbuan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, dalam serbuan kedua di Taman Bukit Teratai pula, pihaknya menahan enam wanita warga Vietnam berusia 35 hingga 40 tahun.

"Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 52 daun terup dan sejumlah wang tunai yang digunakan untuk aktiviti perjudian jenis daun terup (Ngau).

"Semua suspek yang ditahan direman empat hari bermula hari ini hingga 11 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Selain itu, semua suspek juga dikenakan kompaun mengikut Peratuan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan perjudian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur serta pelanggan.

"Kami juga menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat aktiviti perjudian dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 6:26 PM