GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


POLIS Selangor menerima 66,939 permohonan permit rentas negeri sejak 22 Mei hingga semalam.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, daripada jumlah itu, 60,764 permohonan diluluskan kerana menepati syarat ditetapkan.

"Untuk tempoh semalam sahaja, kita menerima 6,250 permohonan dan 5,993 sudah diluluskan manakala 257 lagi tidak lulus.

"Urusan kecemasan dan lain-lain merekodkan permohonan tertinggi iaitu 3,677, pasangan suami isteri jarak jauh (1,225), perubatan (854) serta kematian (237)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Beliau berkata, bagi individu yang perlu merentas negeri untuk ke tempat kerja, mereka tidak perlu memohon permit sebaliknya boleh menunjukkan surat pengesahan daripada majikan atau syarikat.

Katanya, kesemua sekatan jalan raya (SJR) di lebuh raya sudah ditutup bagaimanapun, SJR di jalan daerah masih diteruskan.

"Sebanyak 12,883 kenderaan diperiksa pada 18 SJR semalam, 24 di arah patah balik dan tiada kompaun serta tangkapan dilakukan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Yazid berkata, seramai 6,700 penduduk terbabit dalam Perintah kawalan pergerakan secara pentadbiran (Semco) di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama di Bukit Changgang, Kuala Langat yang berkuatkuasa hari ini.

Jelasnya, Semco berkenaan adalah di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan membabitkan kawasan seluas 720 ekar.

"Penugasan akan merangkumi tiga zon iaitu zon A di Taman Langat Utama, zon B (Taman Langat Murni) dan zon C (Taman Langat Murni Fasa Dua)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 8:58 PM