ANTARA kenderaan yang diperiksa dalam operasi berkenaan. FOTO Juwan Riduan
ANTARA kenderaan yang diperiksa dalam operasi berkenaan. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEBANYAK 11 kereta disita, manakala 34 individu ditahan di Lahad Datu, semalam, selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam operasi di Jalan Tengah Nipah, bermula jam 7 pagi itu, semua kereta persendirian berkenaan digunakan sebagai kereta sapu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kesalahan utama yang dikesan adalah menaiki kenderaan persendirian (kereta sapu) yang mana pemandu dan penumpang tidak tinggal serumah.

Katanya, kesalahan melanggar Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020.

"Semua yang ditahan berusia 18 hingga 68 tahun itu juga boleh dihukum mengikut Peraturan 15(1) Peraturan yang sama.

"Daripada 34 yang ditahan, 17 individu adalah warga tempatan membabitkan 10 wanita dan tujuh lelaki dan mereka semua dikenakan kompaun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, selebihnya warga asing membabitkan enam wanita dan 11 lelaki warga asing pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Katanya, 11 kenderaan yang disita turut disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Operasi ini membabitkan lapan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lahad Datu yang menjalankan tugas pemantauan Op Covid 19 (PKPB)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 9:28 AM