Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) memeriksa dokumen seorang pemandu e-hailing yang berasal dari Indonesia yang menawarkan perkhidmatan kenderaan awam secara tidak sah di Setapak Sentral. FOTO SADIQ SANI
Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) memeriksa dokumen seorang pemandu e-hailing yang berasal dari Indonesia yang menawarkan perkhidmatan kenderaan awam secara tidak sah di Setapak Sentral. FOTO SADIQ SANI
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Menawarkan tambang lebih murah di aplikasi Telegram dan WhatsApp kepada penumpang yang mahu menggunakan khidmat kereta sapu.

Itu taktik pemandu terutama warga asing yang menjadikan universiti awam dan kolej swasta di sekitar Kuala Lumpur, sebagai lubuk mencari pelanggan terutama penuntut.

Bukan itu saja, terdapat juga pemandu dalam kalangan penuntut yang menawarkan khidmat sama dipercayai bagi mencari 'duit poket'.

Bagaimanapun, kegiatan itu dihidu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menerusi Operasi Pengarah (Kenderaan Perkhidmatan Awam) di sekitar Wangsa Maju dan Setapak di sini, bermula 9 pagi hari ini.

Dalam operasi di hadapan sebuah pusat beli-belah di Setapak, pegawai JPJ yang melakukan penyamaran berjaya menahan lima kenderaan termasuk tiga dipandu warga asing yang menjalankan khidmat kereta sapu.

Seorang penuntut wanita berusia 25 tahun yang menggunakan khidmat kereta sapu dipandu warga Bangladesh berkata, dia menempah kereta sapu melalui satu kumpulan di Telegram kerana tambang ditawarkan lebih murah berbanding pengangkutan awam lain.

"Saya menghantar mesej di kumpulan itu untuk buat tempahan dengan beritahu lokasi ingin dituju.

"Pemandu pula beritahu maklumat kenderaan dan tambang yang perlu dibayar.

"Tambang dikenakan bergantung pada jarak dan selalunya lebih cepat sampai. Macam saya dapat hari ini dari Gombak ke Setapak hanya RM15 berbanding pemandu lain yang mengenakan caj RM18," katanya kepada Harian Metro.

Seorang pemandu yang juga penuntut universiti awam ketika ditahan memberi alasan menghantar rakan.

Namun, dia yang memandu Honda City dikesan menawarkan khidmat berkenaan di aplikasi Telegram.

Sementara itu, kesemua pemandu dan kenderaan yang ditahan dibawa ke Pejabat JPJ Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Kenderaan yang digunakan sebagai kereta sapu boleh disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dilucutkan hak mengikut Seksyen 80 (3) Akta Pengangkutan Darat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 2:51 PM