Hanif Yusabra ketika sidang media pada Ops Prebet Sapu di sekitar Nilai. FOTO AZRUL EDHAM
Hanif Yusabra ketika sidang media pada Ops Prebet Sapu di sekitar Nilai. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Nilai: Sejak lima tahun kebelakangan ini, aktiviti 'prebet sapu' tidak aktif lagi selepas kemunculan perkhidmatan e-hailing, namun kegiatan berkenaan dikesan mula berleluasa di kawasan institusi pengajian tinggi (IPT), di sini.

Tanpa mengetahui kesan sekiranya berlaku kemalangan, ia menjadi pilihan kepada penuntut IPT kerana harga tambang ditawarkan lebih murah berbanding teksi atau e-hailing.

Malah, mereka dipercayai mempunyai kumpulan di dalam aplikasi media sosial yang disertai kira-kira 12,000 individu dengan rata-ratanya terdiri daripada penuntut IPT sebagai medium untuk menempah perkhidmatan prebet sapu.

Susulan aduan ibu bapa penuntut dan masyarakat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan Ops Prebet Sapu, hari ini, di sekitar bandar ini dan berjaya menahan lima pemandu dengan dua daripadanya adalah penuntut IPT.

Seorang penumpang berusia 22 tahun berkata, sebagai penuntut IPT yang perlu berjimat, perkhidmatan prebet sapu memang menjadi pilihannya kerana ia mudah ditempah dan lebih murah.

"Kami tempah menggunakan aplikasi media sosial yang mana pemandu dan penumpang berada di dalam grup itu. Terdapat tiga grup yang menawarkan perkhidmatan ini.

"Di dalamnya terdapat kira-kira 12,000 ahli yang kebanyakan adalah pelajar.

"Malah, pemandu juga terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar," katanya ketika ditemui di lokasi operasi selepas kenderaan dinaikinya ditahan JPJ, di sini, hari ini.

Seorang pemandu prebet sapu yang juga penuntut tahun satu berusia 20 tahun tidak menyangka ditahan ketika kali pertama beroperasi mengambil penumpang.

Menurutnya, tujuannya menjalankan kegiatan itu untuk menambah duit poket tanpa mengetahui ia adalah kesalahan yang melanggar undang-undang.

"Sudah tiga bulan saya bawa kereta ke sini bagi memudahkan saya bergerak. Untuk tambah duit sampingan, hari ini saya mula buat perkhidmatan ini dan tidak tahu ia adalah salah," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata, antara aduan daripada ibu bapa adalah kebimbangan mereka terhadap pemandu yang tidak jelas kesahihannya.

"Ia berkemungkinan berisiko kepada kemalangan dan kejadian jenayah.

"Pemandu e-hailing dan teksi juga mengadu pendapatan mereka terjejas di sekitar IPT selepas wabak Covid-19 yang lalu dan mengesyaki berlakunya kegiatan prebet sapu," katanya.

Menurutnya, agak mengejutkan apabila terdapat kakitangan IPT yang menawarkan perkhidmatan prebet sapu.

Katanya, dalam operasi semalam, sebanyak lima kereta diperiksa dan didapati melakukan kegiatan prebet sapu.

Hanif berkata, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana salah guna cukai jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 5:23 PM