Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ratusan warga asing yang meluangkan masa sempena cuti umum di Jalan Thamby Abdullah, Brickfields di sini, terkedu selepas digempur pihak berkuasa menerusi Ops Sapu.

Operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya pada 1 tengah hari itu memeriksa 370 warga asing dari pelbagai negara.

Ketika pemeriksaan dilakukan ada diantara mereka cuba melarikan diri dan enggan memberikan kerjasama.

Pemeriksaan turut dijalankan terhadap pekerja di 30 premis di sekitar kawasan berkenaan susulan aduan yang diterima.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, hasil daripada pemeriksaan itu, lebih 100 warga asing dari Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, India dan Indonesia ditahan.

"Semua individu ditahan berusia 25 hingga 71 tahun. Jumlah tangkapan ini akan meningkat selepas proses dokumentasi selesai dijalankan.

"Operasi dijalankan di kawasan ini susulan aduan orang ramai terhadap kebanjiran warga asing," katanya pda sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

"Warga asing yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan melanggar syarat pas yang ditetapkan.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1958/63, Akta Passport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007," katanya.

Katanya, majikan diingatkan untuk tidak melindungi warga asing dan perlu memohon pekerja ading mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 3:31 PM
JAFRI memeriksa dokumen perjalanan sebahagian warga asing yang ditahan pada Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen. FOTO Aizuddin Saad
JAFRI memeriksa dokumen perjalanan sebahagian warga asing yang ditahan pada Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen. FOTO Aizuddin Saad