KEADAAN Pasar Harian Selayang ketika tinjauan larangan mengambil pekerja warga asing. FOTO Aswadi Alias
KEADAAN Pasar Harian Selayang ketika tinjauan larangan mengambil pekerja warga asing. FOTO Aswadi Alias
Rosyahaida Abdullah


LEBIH 1,200 individu sudah mendaftar sejak Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengusulkan keutamaan kepada warga tempatan untuk diambil bekerja di Pasar Harian Selayang, Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur, Ahmad Faisal Mohd Meidin ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pasar berkenaan selepas warga asing tidak bekerja di situ susulan penularan jangkitan Covid-19 dan arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Permintaan tinggi warga tempatan untuk bekerja di pasar itu sekali gus menafikan dakwaan rakyat Malaysia enggan bekerja dalam sektor berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Faisal berkata, selain pendaftaran oleh golongan pekerja, terdapat 400 permohonan diterima pihaknya daripada peniaga tempatan untuk berniaga di pasar itu.

Susulan itu, beliau berharap Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat melakukan bancian semula dengan kadar segera bagi mengenal pasti peniaga yang layak berniaga di situ.

"Mungkin disebabkan keadaan ekonomi sekarang, semakin ramai individu mencari peluang kerja tanpa mengira sektor termasuklah sebagai pekerja di pasar.

"Ini sememangnya perkembangan yang baik memandangkan persatuan sendiri sudah lebih 20 tahun memperjuangkan pengambilan warga tempatan berbanding pekerja asing di pasar kami.

"Cuma, apa yang kita harapkan daripada kerajaan khususnya DBKL adalah untuk membuat bancian dan semakan semula terhadap pemilik perniagaan di pasar sama ada mereka benar-benar layak berniaga," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Faisal berkata, pihaknya amat gembira apabila ada peniaga yang sekian lama berniaga di tepi jalan disebabkan tidak berpeluang mendapat lot perniagaan di dalam pasar turut mendaftar.

Namun katanya, peluang itu mungkin masih samar jika peniaga sedia ada yang diragui kelayakannya masih mendapat tempat di pasar itu.

"Kita tidak mahu cerita kisah lama sebaliknya hanya inginkan yang lebih baik pada masa depan sempena usaha KWP untuk membanteras kebanjiran warga asing di pasar ini.

"Persatuan berharap semakan semula dibuat terhadap semua peniaga sedia ada berkaitan kemampuan mereka untuk terus berniaga di situ sedangkan ada antaranya memiliki aset bernilai jutaan ringgit seperti ladang, kebun dan sebagainya.

"Juga aspek yang perlu dilihat adalah jika pemilik perniagaan mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak ali babakan perniagaan mereka," katanya.

Katanya, perkara itu penting demi membantu peniaga tempatan yang selama ini dihalau pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana menjaja di tepi jalan sedangkan mereka sentiasa cuba mendapatkan lot premis dalam pasar walaupun berulang kali gagal.

Annuar beberapa minggu lalu menyarankan peniaga dan penjaja pasar borong serta sektor perkilangan supaya mengelak daripada terus menggaji warga asing sebagai pekerja.

Menerusi laporan sama, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa kementerian lain sedang berusaha mengisi keperluan tenaga kerja ramai dalam sektor pasar borong dan perkilangan dengan pekerja tempatan, terutama gelandangan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 9:20 PM