Warga asing dikesan tawar khidmat mengangkut barangan peniaga tanpa kebenaran.
Warga asing dikesan tawar khidmat mengangkut barangan peniaga tanpa kebenaran.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sejak diharamkan berniaga atau bekerja di Pasar Borong Selayang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan setahun lalu, pelbagai taktik digunakan warga asing khususnya dari India, Myanmar dan Bangladesh untuk meraih pendapatan di situ.

Kini, mereka dikesan menjadi 'teksi' di pasar borong yang akan mengangkut barangan peniaga dari kedai atau lori pemborong sejak beberapa bulan lalu.

Sumber berkata, sebelum ini perkhidmatan mengangkut barang atau lebih sinonim dengan gelaran teksi dikhususkan untuk warga tempatan yang mendapat kebenaran pengurusan pasar borong.

Katanya, sejak kebelakangan ini warga asing dilihat mula menguasai perkhidmatan itu sehingga menjejaskan periuk nasi warga tempatan.

"Jika teksi tempatan, pekerja pengangkut barang ini akan memakai baju-T khas bagi memudahkan mereka dikenal pasti.

"Tetapi warga asing ini yang tidak mendapat kebenaran sewenang-wenangnya menguasai perkhidmatan itu dengan kadar upah antara RM10 hingga RM60 bergantung jenis barang dihantar," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, warga asing berkenaan bekerja bermula jam 8 malam sehingga awal pagi bergantung kepada permintaan peniaga dan pemborong.

Katanya, keadaan ini jika dibiarkan berlarutan sudah pasti menyebabkan pengangkut barang warga tempatan terjejas teruk.

Menurutnya, persoalan juga timbul bagaimana warga asing ini kembali bekerja di pasar borong ini sedangkan arahan kerajaan tidak membenarkan mereka berbuat demikian.

Tambahnya, ada peniaga dan pengangkut barang tempatan bertanyakan kepada warga asing ini namun jawapan mereka mudah kerana mahu cari makan.

"Jika biarkan, mereka akan naik lemak seperti yang berlaku sebelum ini sehingga mampu mewujudkan kartel menguasai pasar borong.

"Penguatkuasaan memang sering dijalankan, tetapi ramai warga asing ini masih berdegil dan seringkali mencuba nasib dengan pelbagai taktik baharu.

"Peniaga dan pemborong digesa jangan membuka jalan kepada warga asing dengan mengupah mereka sedangkan ramai lagi pekerja tempatan yang boleh mengisi kekosongan kerja di pasar borong," katanya.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Sesi Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya.
Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Sesi Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya.

'Warga tempatan sudah cukup sengsara'

Bagaimana warga asing masih boleh menembusi Pasar Borong Kuala Lumpur Selayang untuk bekerja walaupun amaran keras sudah diberi kerajaan?

Itu persoalan dibangkitkan Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Sesi Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya yang ternyata bimbang dengan kehadiran semula pekerja warga asing sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, sebelum ini tiada warga asing bekerja ketika penguatkuasaan ketat di pintu masuk pasar borong, selain operasi penguatkuasaan dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, kini kehadiran teksi warga asing mula menggugat periuk nasi pekerja tempatan sejak beberapa bulan lalu.

"Warga asing tidak harus diberi ruang bekerja kerana mereka menutup peluang warga tempatan seperti yang berlaku sebelum ini.

"Apabila dibiarkan nanti, jumlah mereka bertambah seterusnya memonopoli kembali pasar borong," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, teksi warga tempatan memakai baju-T kuning bagi memudahkan pelanggan dan peniaga mengenal pasti mereka untuk dipanggil membantu mengangkat barang.

Katanya, teksi warga tempatan perlu mendapat kebenaran sebelum dibenar bekerja mengangkat barang dengan upah bermula RM10.

Tambahnya, persatuanmendapat aduan daripada teksi tempatan yang terjejas teruk apabila mereka tidak lagi diambil bekerja.

"Persatuan mahu tindakan tegas kembali dijalankan DBKL dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana tidak mahu nasib pekerja tempatan dinafikan dengan kehadiran warga asing.

"Warga tempatan sudah cukup sengsara dengan ketiadaan pekerjaan kerana Covid-19 dan kini tempat mereka pula mahu diganti warga asing. Jangan beri muka kepada warga asing ini kerana terbukti mereka akan lebih 'besar kepala' sehingga menguasai pasar borong," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

'Mereka pekerja kepada pembeli'

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan tiada lagi pelesen di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) yang menggaji pekerja warga asing.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan kegiatan pemunggahan warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) adalah pekerja kepada pembeli dibawa masuk membantu mereka membuat kerja pemunggahan selepas membuat pembelian.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil siasatan dijalankan oleh pihaknya.

Dalam kenyataan sama, DBKL memaklumkan ketiadaan pekerja warga asing itu susulan pelaksanaan pemutihan di PBKL menerusi pemantauan dan tindakan penguatkuasaan berterusan DBKL.

"Task Force membabitkan pelbagai agensi ditubuhkan bagi memberi tumpuan kepada usaha pemutihan PBKL daripada pembabitan pekerja warga asing selain mengambil tindakan terhadap majikan yang menggajikan mereka (warga asing).

"DBKL memperkasakan Undang-Undang Kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002 dengan mengambil tindakan komprehensif bagi memastikan kawalan terhadap pekerja warga asing di PBKL.

"Undang-undang itu hanya memberi kuasa kepada DBKL untuk memberi notis kompaun dan membatalkan lesen tapak atau premis kepada pelesen yang melanggar syarat lesen dikeluarkan saja," katanya.

Tambahnya, selaras undang-undang sedia ada, hanya individu mempunyai pas pelesen dan pekerja tempatan saja dibenarkan untuk masuk bekerja di PBKL

Manakala, individu bukan warga negara dilarang untuk bekerja dan berniaga di dalam kawasan berkenaan.

Katanya, 19 notis kompaun, tiga notis penguatkuasaan dan satu tindakan sita dilaksanakan dalam kawasan PBKL pada Januari lalu.

Satu arahan tutup premis dikeluarkan di luar PBKL dan 118 notis kompaun serta 20 tindakan sitaan dilaksanakan sepanjang tempoh itu.

"Tindakan diteruskan bulan lalu dan buktinya 146 notis kompaun dikeluarkan dalam kawasan PBKL.

"Manakala, satu arahan tutup premis dikeluarkan di luar PBKL kerana menggajikan pembantu warga asing dan 325 notis kompaun serta 20 tindakan sita juga pindah halangan dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:01 AM